Pada hari ini (31 Ogos 2025/Ahad), kita menyambut kemerdekaan kali ke 68 di Malaysia. Namun, terdapat banyak persoalannya yang perlu diperjelaskan kepada setiap semua masyarakat tidak mengira bangsa, agama dan warna kulit. Adakah kita semua ini sudah merdeka? Sebelum menjawab persoalan ini, ada baiknya kita kena tahu apa maksud kemerdekaan yang sebenarnya. Merdeka menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi ke 4 adalah bebas daripada penjajahan, kurungan atau naungan. Dalam konteks negara, merdeka boleh didefinisikan sebagai kedaulatan iaitu bebas menentukan pemerintahan dan hala tuju negara yang berdaulat. Apabila kita tahu maksud merdeka, tidak bermakna kita merdeka sepenuhnya. Hal ini demikian kerana, kemerdekaan yang sebenarnya adalah terlepas daripada belenggu ideologi yang merosakkan dan bebas daripada segala kurungan atau naungan dari segi wang ringgit, kedudukan dan sosial. Orang yang merdeka sepatutnya tidak terjerumus dengan hutang yang banyak, kedudukan yang timggi sehingga tidak membantu orang yang memerlukan bantuan dan tidak melaksanakan tuntutan syariat Islam dan ada juga yang melakukan jenayah. Adakah itu kemerdekaan bagi individu Islam yang berjaya?
Di sini kami ingin menekankan bahawa kemerdekaan tidak sesekali bermaksud bebas daripada segala penjajahan kuasa luar tetapi ianya bermaksud keseluruhan seperti bebas daripada hutang yang tidak berguna dan membebankan (kestabilan ekonomi), hubungan baik sesama manusia (penjagaan sosial), berbudi bahasa dan berakhlak (penjagaan sahsia diri) dan menjaga hubungan dengan Allah serta hak-hak Islam (penjagaan emosi & spiritual). Selain itu, kemerdekaan juga dapat memberikan manfaat kepada individu dan masyarakat secara keseluruhan.
Antara manfaat kemerdekaan bagi individu dan masyarakat adalah:-
1. Bebas daripada pengaruh kuasa luar
Hal ini demikian kerana, kuasa luar boleh menjejaskan pentadbiran dalam sesebuah negara dan berlakunya kecurian harta dan aset yang bernilai.
2. Bebas daripada cengkaman hutang yang membebankan
Hutang yang banyak sampai membebankan seseorang akan menyebabkan seseorang menjafi hamba duit dan sentiasa boros dalam perbelajaan harian yang menyebabkan diri terperangkap dengan hutang jahat.
3. Bebas daripada pengaruh ideologi yang melanggar syariat Islam
Ideologi masa kini dapat menyebabkan seseorang menjadi terpengaruh dan terperangkap dengan ideologi yang tidak sihat.
4. Bebas daripada sifat yang buruk (mazmumah)
Sifat yang buruk menyebabkan hati ini sentiasa terperangkap dengan sifat dan persekitaran yang negatif. Adalah penting untuk sentiasa bersikap positif dalam kehidupan seharian.
5. Bebas daripada perbuatan jenayah
Jenayah membawa padah. Ianya akan buatkan anda terperangkap dalam kancah jenayah dan sentiasa menjadi orang yang dipandang hina oleh masyarakat.
Semua manfaat ini dapat memberikan ketenangan diri dan jiwa seseorang serta hidup menjadi makmur dan harmoni. Kemerdekaan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit tetapi memerlukan pengorbanan besar seperti datuk dan nenek moyang kita semasa mencapai kemerdekaan. Ingatlah wahai bangsa Malaysia, kenalilah diri anda kerana kita sebenarnya menghadapi musuh daripada pihak orientalis yang sentiasa menghancurkan sejarah bangsa dan negara. Marilah kita menyambut kemerdekaan pada kali ini dengan azam dan semangat yang berkobar dalam mencintai bangsa dan negara yang tercinta.
Merdeka!, Merdeka!, Merdeka!
#selamatmenyambutkemerdekaan
#MalaysiaMadaniRakyatDisantuni
#justiceforzaraqairina
#fightforrakyat
Ulasan
Catat Ulasan