Sekolah Agama Seri Muafakat terletak 1.5 kilometer dari jalan masuk ke Kampung Parit Haji Abdul Salam, Simpang Lima, 83020 Batu Pahat, Johor. Jaraknya dari Bandar Penggaram, Batu Pahat pula lebih kurang 10 kilometer. Kedudukannya bersebelahan dengan Masjid Jamek Kampung Parit Haji Abdul Salam.
Sekolah
Agama Seri Muafakat telah diasaskan oleh Tuan Haji Mustaffa bin Haji
Abu Hassan pada tahun 1925, iaitu 5 tahun terkemudian daripada penubuhan
sekolah kebangsaan. Pada awal penubuhannya Sekolah Agama Seri Muafakat
telah menumpang di Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Kajang hingga tahun
1995, dan menggunakan nama Sekolah Agama Sungai Kajang.
Bangunan
sekolahnya berbentuk sebuah bangsal panjang beratap daun nipah dan
berlantaikan papan. Pembinaannya dibuat pada tahun 1920 dengan kosnya
ditanggung oleh Tuan Haji Mustaffa
bin Haji Abu Hassan.
Sekolah
Kebangsaan Sungai Kajang pada mulanya hendak dibina di tapak Masjid
Sungai Kajang yang ada sekarang atas cadangan ketua kampung. Setelah
diadakan rundingan dengan Penghulu Mukim 2
Bagan pada ketika itu,
Encik Jaafar bin Sidek dan Naib Penghulunya Tuan Haji Mustaffa bin Haji
Abu Hassan, tapak sekolah telah ditukar ke Kampung Parit Haji Mustaffa
iaitu nama asal bagi Kampung Parit Haji Abdul Salam. Nama sekolah
kebangsaan kekal dengan nama Sekolah Sungai Kajang, mengambil nama
sempena Kampung Sungai Kajang.
Pada
awalnya, bilangan murid di sekolah Kebangsaan Sungai Kajang ini
hanyalah seramai 30 orang sahaja dengan 2 orang guru. Pada tahun 1926,
sebuah bangunan 2 bilik darjah telah dibina dengan pertambahan bilangan
muridnya.
Kemudian
pada tahun 1932, bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan Sungai Kajang,
seluas 24 kaki x 20 kaki telah siap dibina. Pada tahun 1951, kerana
pertambahan bilangan murid, sebuah
bangunan tambahan telah dibina atas daya usaha dan muafakat penduduk setempat di atas tanah seorang penduduk berbangsa Cina.
Oleh sebab itu sekolah yang baru dibina telah dinamakan sebagai Sekolah Seri Muafakat.
Pada
tahun 1962, Sekolah Seri Muafakat dan Sekolah Sungai Kajang telah
dicantumkan dibawah satu pengurusan dan dinamakan semula sebagai Sekolah
Kebangsaan Sungai Kajang. Pada awal tahun 1986, di atas persetujuan
penduduk kampung untuk merealisasikan perjalanan dan pentadbiran sekolah
agama, maka ditubuhkan Badan Kebajikan Sekolah Agama Sungai
Kajang.Kemunculan tahun 1995 memberi lembaran baru kepada Sekolah Agama
Sungai Kajang, apabila ianya berhijrah ke bangunan
sendiri bersebelahan Masjid Jamek Kampung Parit Haji Abdul Salam.
Dengan
keluasan tanah satu ekar persegi, sekolah agama ini dibina oleh Jabatan
Agama Islam Johor. Berkat keikhlasan Allahyarham Tuan Haji Hassan bin
Musa iaitu salah seorang penduduk kampung ini,
telah mewakafkan tanah
hak miliknya sendiri atas tujuan memartabatkan pendidikan agama,
seiring dengan pendidikan akademik pada masa itu.
Bersempena
dengan nama bangunan Sekolah Seri Muafakat dan pemaufakatan ketua
kampung serta guru besar pada ketika itu, iaitu Ustaz Mahmod bin Yahya
serta sokongan sebulat suara daripada
penduduk kampung, maka telah termeterailah nama sekolah ini dengan nama “Sekolah Agama Seri Muafakat”.

